Isma’il dalam bahasa Arab dan Ibrani
mempunyai arti yaitu ‘Allah Telah Mendengar’ yaitu Allah telah menjawab doa
Nabi Ibrahim untuk mempunyai anak, dan Dia menganugerahkannya Ismail. Nabi
Ismail adalah putera pertama Nabi Ibrahim a.s. dengan isterinya bernama Hajar.
Nabi Ismail dibesarkan di Makkah
(pekarangan Kaabah). Apabila dewasa beliau berkahwin dengan wanita daripada
puak Jurhum. Walaupun tinggal di Makkah, Ismail sering dikunjungi bapanya.
Pada satu ketika, bapanya menerima
wahyu daripada Allah supaya membina Kaabah. Perkara itu disampaikan kepada
anaknya. Ismail berkata: “Kerjakanlah apa yang diperintahkan Tuhanmu kepadamu
dan aku akan membantumu dalam pekerjaan mulia itu.”Ketika membina Kaabah, Nabi
Ibrahim berkata kepada Ismail: “Bawakan batu yang baik kepadaku untuk aku
letakkan di satu sudut supaya ia menjadi tanda kepada manusia.”Kemudian Jibril
memberi ilham kepada Ismail supaya mencari batu hitam untuk diserahkan kepada
Nabi Ibrahim.Setiap kali bangun, mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami, terimalah
daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha
Mengetahui.”Bangunan (Kaabah) itu menjadi tinggi dan Ibrahim makin lemah untuk
mengangkat batu. Dia berdiri di satu sudut, kini dikenali Makam Ibrahim.
Selepas itu Nabi Ibrahim beredar dari
situ. Sejurus kemudian, Nabi Ismail pulang ke rumah dengan hati gembira kerana
dia menganggap tiada perkara tidak diingini berlaku sepanjang ketiadaannya di
rumah. Nabi Ismail bertanya isterinya: “Apakah ada orang datang menemui
kamu?“Isterinya berkata: “Ya, ada orang tua kunjungi kita.” Ismail berkata:
“Apakah dia mewasiatkan sesuatu kepadamu?“ Isterinya berkata: “Ya, dia
menyuruhku menyampaikan salam kepadamu dan memintaku mengatakan kepadamu supaya
menggantikan pintumu.”Ismail berkata: “Dia adalah bapaku. Sesungguhnya dia
menyuruhku supaya menceraikanmu, maka kembalilah kepada keluargamu.”Selepas
menceraikan isterinya, Nabi Ismail berkahwin lain, kali ini dengan seorang lagi
wanita daripada kaum Jurhum. Isteri baru itu mendapat keredaan bapanya kerana
pandai menghormati tetamu, tidak menceritakan perkara yang menjatuhkan maruah
suami dan bersyukur dengan nikmat Allah. Ismail hidup bersama isteri barunya
itu hingga melahirkan beberapa anak.
Nabi Ismail mempunyai 12 anak lelaki
dan seorang anak perempuan yang dikahwinkan dengan anak saudaranya, iaitu
Al-’Ish bin Ishak. Daripada keturunan Nabi Ismail lahir Nabi Muhammad s.a.w.
Keturunan Nabi Ismail juga mewujudkan bangsa Arab Musta’ribah.
Nabi Ibrahim dari masa ke semasa pergi
ke Makkah untuk mengunjungi dan menjenguk Ismail di tempat pengasingannya bagi
menghilangkan rasa rindu hatinya kepada puteranya yang ia sayangi serta
menenangkan hatinya yang selalu rungsing bila mengenangkan keadaan puteranya
bersama ibunya yang ditinggalkan di tempat yang tandus, jauh dari masyarakat
kota dan pengaulan umum.
Sewaktu Nabi Ismail mencapai usia
remajanya Nabi Ibrahim a.s. mendapat mimpi bahwa ia harus menyembelih Ismail
puteranya. Dan mimpi seorang nabi adalah salah satu dari cara-cara turunnya
wahyu Allah, maka perintah yang diterimanya dalam mimpi itu harus dilaksanakan
oleh Nabi Ibrahim. Ia duduk sejurus termenung memikirkan ujian yang maha berat
yang ia hadapi. Sebagai seorang ayah yang dikurniai seorang putera yang sejak
puluhan tahun diharap-harapkan dan didambakan, seorang putera yang telah
mencapai usia di mana jasa-jasanya sudah dapat dimanfaatkan oleh si ayah,
seorang putera yang diharapkan menjadi pewarisnya dan penyampung kelangsungan
keturunannya, tiba-tiba harus dijadikan qurban dan harus direnggut nyawa oleh
tangan si ayah sendiri.
Namun ia sebagai seorang Nabi, pesuruh
Allah dan pembawa agama yang seharusnya menjadi contoh dan teladan bagi para
pengikutnya dalam bertaat kepada Allah, menjalankan segala perintah-Nya dan
menempatkan cintanya kepada Allah di atas cintanya kepada anak, isteri, harta benda
dan lain-lain. Ia harus melaksanakan perintah Allah yang diwahyukan melalui
mimpinya, apa pun yang akan terjadi sebagai akibat pelaksanaan perintah itu.
Sungguh amat berat ujian yang dihadapi
oleh Nabi Ibrahim, namun sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: "Allah
lebih mengetahui di mana dan kepada siapa Dia mengamanatkan risalahnya".
Nabi Ibrahim tidak membuang masa lagi, berazam (niat) tetap akan menyembelih
Nabi Ismail puteranya sebagai qurban sesuai dengan perintah Allah yang telah diterimanya.
Dan berangkatlah serta merta Nabi Ibrahim menuju ke Makkah untuk menemui dan
menyampaikan kepada puteranya apa yang Allah perintahkan.
Nabi Ismail sebagai anak yang soleh
yang sangat taat kepada Allah dan bakti kepada orang tuanya, ketika diberitahu
oleh ayahnya maksud kedatangannya kali ini tanpa ragu-ragu dan berfikir panjang
berkata kepada ayahnya:
"Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang telah diperintahkan oleh
Allah kepadamu. Engkau akan menemuiku insya-Allah sebagai seorang yang sabar
dan patuh kepada perintah. Aku hanya meminta dalam melaksanakan perintah Allah
itu, agar ayah mengikatku kuat-kuat supaya aku tidak banyak bergerak sehingga
menyusahkan ayah, kedua agar menanggalkan pakaianku supaya tidak terkena darah
yang akan menyebabkan berkurangnya pahalaku dan terharunya ibuku bila
melihatnya, ketiga tajamkanlah parangmu dan percepatkanlah perlaksanaan
penyembelihan agar meringankan penderitaan dan rasa pedihku, keempat dan yang
terakhir sampaikanlah salamku kepada ibuku berikanlah kepadanya pakaian ku ini
untuk menjadi penghiburnya dalam kesedihan dan tanda mata serta kenang-kenangan
baginya dari putera tunggalnya."
Kemudian dipeluknyalah Ismail dan
dicium pipinya oleh Nabi Ibrahim seraya berkata: "Bahagialah aku mempunyai
seorang putera yang taat kepada Allah, bakti kepada orang tua yang dengan
ikhlas hati menyerahkan dirinya untuk melaksanakan perintah Allah".
Saat penyembelihan yang mengerikan
telah tiba. Diikatlah kedua tangan dan kaki Ismail, dibaringkanlah ia di atas
lantai, lalu diambillah parang tajam yang sudah tersedia dan sambil memegang
parang di tangannya, kedua mata nabi Ibrahim yang tergenang air berpindah
memandang dari wajah puteranya ke parang yang mengilap di tangannya,
seakan-akan pada masa itu hati beliau menjadi tempat pertarungan antara
perasaan seorang ayah di satu pihak dan kewajiban seorang rasul di satu pihak
yang lain. Pada akhirnya dengan memejamkan matanya, parang diletakkan pada
leher Nabi Ismail dan penyembelihan di lakukan . Akan tetapi apa daya, parang
yang sudah demikian tajamnya itu ternyata menjadi tumpul dileher Nabi Ismail
dan tidak dapat berfungsi sebagaimana mestinya dan sebagaimana diharapkan.
Kejadian tersebut merupakan suatu
mukjizat dari Allah yang menegaskan bahwa perintah perkorbanan Ismail itu hanya
suatu ujian bagi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sampai sejauh mana cinta dan taat
mereka kepada Allah. Ternyata keduanya telah lulus dalam ujian yang sangat
berat itu. Nabi Ibrahim telah menunjukkan kesetiaan yang tulus dengan
perkorbanan puteranya. untuk berbakti melaksanakan perintah Allah sedangkan
Nabi Ismail tidak sedikit pun ragu atau bimbang dalam memperagakan kebaktiannya
kepada Allah dan kepada orang tuanya dengan menyerahkan jiwa raganya untuk
dikorbankan, sampai-sampai terjadi seketika merasa bahwa parang itu tidak lut
memotong lehernya, berkatalah ia kepada ayahnya:" Wahai ayahku!
Rupa-rupanya engkau tidak sampai hati memotong leherku karena melihat wajahku,
cubalah telangkupkan aku dan laksanakanlah tugasmu tanpa melihat wajahku.
"Akan tetapi parang itu tetap tidak berdaya mengeluarkan setitik darah pun
dari daging Ismail walau ia telah ditelangkupkan dan dicuba memotong lehernya
dari belakang.
Dalam keadaan bingung dan sedih hati,
kerana gagal dalam usahanya menyembelih puteranya, datanglah kepada Nabi
Ibrahim wahyu Allah dengan firmannya: "Wahai Ibrahim! Engkau telah
berhasil melaksanakan mimpimu, demikianlah kami akan membalas orang-orang yang
berbuat kebajikan". Kemudian sebagai tebusan ganti nyawa, Ismail telah
diselamatkan itu, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih seekor Qibas
yang telah tersedia di sampingnya dan segera dipotong leher kambing itu oleh
beliau dengan parang yang tumpul di leher puteranya Ismail itu. Dan inilah asal
permulaan sunnah berqurban yang dilakukan oleh umat Islam pada tiap Hari Raya
Aidiladha di seluruh pelosok dunia.
0 komentar:
Posting Komentar